Oleh Nazri Muslim
Keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan sering kali menjadi polemik pelbagai pihak di negara ini.
Polemik ini semacam tiada penghujungnya, ditambah lagi dengan
kemunculan generasi baharu selepas merdeka yang tidak memahami konteks
isu ini secara keseluruhannya, tetapi turut terlibat dalam polemik
tersebut.
Siapakah Melayu menurut tafsiran Perlembagaan? Takrifan Melayu
sebenarnya sangat luas dan jika diambil daripada konteks sejarah dan
sosiobudaya, Melayu itu meliputi mereka yang mendiami kepulauan Melayu.
Walaupun terdapat pelbagai suku bangsa, bahasa, dan loghat, kebanyakan
ahli bahasa dan budayawan menganggap mereka sebagai satu kumpulan yang
sama, iaitu keturunan Melayu.
Jika merujuk Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditakrifkan dalam
Perkara 160(2) sebagai seseorang yang beragama Islam. Lazimnya, mereka
ini bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Seseorang itu dikatakan Melayu apabila lahir sebelum kemerdekaan di
Persekutuan atau di Singapura; atau ibu atau bapanya lahir di
Persekutuan atau di Singapura; atau pada hari merdeka berdomisil di
Persekutuan atau di Singapura.
Di samping Perkara 160(2), Melayu turut ditakrifkan di bawah Perkara
89(6) yang menyatakan bahawa seseorang itu disifatkan sebagai seorang
Melayu bagi maksud merizabkan tanah di bawah undang-undang bagi negeri
mereka bermastautin. Perkara ini menjelaskan bahawa takrifan Melayu itu
boleh dipecahkan kepada dua, iaitu berdasarkan sosiobudaya dan
berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Terdapat beberapa perkara yang boleh dibincangkan dalam kedua-dua
takrifan di atas. Pertama, untuk menjadi seorang Melayu mengikut
Perlembagaan Persekutuan tidaklah semestinya seseorang itu berketurunan
Melayu. Seorang India boleh dianggap sebagai Melayu sekiranya beragama
Islam, menjadi kelazimannya bertutur dalam bahasa Melayu, dan
mengamalkan adat Melayu. Sebaliknya, walaupun dia seorang yang
berketurunan Melayu sekalipun, bagi maksud Perlembagaan, dia bukan
Melayu jika tidak beragama Islam.
Nazri Muslim merupakan pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan